Saya sudah berdepan dengan beberapa kes yang jalan ceritanya hampir sama.
Semuanya bermula dengan pertanyaan melalui WhatsApp tentang rumah yang saya iklankan di media sosial. Hartanah yang mahu dibeli pula biasanya bernilai melebihi RM1 juta. Kalau projek baharu, mereka akan menyatakan hasrat untuk membeli lebih daripada satu unit, selalunya untuk anak anak.
Selepas itu, mereka akan memberikan satu tarikh tertentu. Pada tarikh tersebut, wang daripada suatu “investment” dikatakan akan masuk. Buat masa ini, wang itu masih belum diterima atau sedang “floating”.
Dalam kes kes yang sampai kepada saya, semua individu tersebut adalah orang Melayu berusia sekitar 50 hingga 60 tahun.
Salah satu kes yang paling menarik masih berterusan sehingga sekarang.
Individu tersebut menghubungi saya pada Februari tahun lalu untuk membeli sebuah hartanah bernilai RM2 juta yang sedang saya iklankan. Ketika itu, saya dan keluarga sedang bercuti di Kuala Terengganu.
Dia turut memasukkan peguamnya ke dalam kumpulan WhatsApp supaya urusan pembayaran booking boleh dibuat sebaik sahaja wang diterima.
Sejak hari itu, dia akan menghubungi saya setiap beberapa hari atau beberapa minggu untuk memberikan perkembangan. Saya tidak pernah meminta kemas kini tersebut. Dia sendiri yang secara sukarela memberitahu saya supaya bersedia pada tarikh dan waktu tertentu.
Katanya, dia akan memasukkan deposit penuh sebanyak 10 peratus kepada peguam. Peguam itu kemudiannya akan membuat pembayaran booking kepada pihak agensi.
Saya pernah menghubungi peguam tersebut secara peribadi. Menurutnya, individu itu memang bekas klien yang pernah membeli hartanah melalui beliau.
Namun, setiap kali tarikh yang dijanjikan tiba, wang tersebut tidak muncul. Alasannya bertukar tukar: wang masih “floating”, transaksi sedang disiasat di bawah AMLA kerana melibatkan jutaan ringgit, Bank Negara menahan wang dari luar negara atau urusan perlu dipindahkan ke bank lain.
Pada awalnya saya melayan kerana ceritanya agak menghiburkan. Lama lama, saya mula berasa kasihan.
Cara mereka bercakap begitu bersungguh sungguh. Cerita disampaikan dengan penuh keyakinan. Wajah dan nada mereka pula sarat dengan pengharapan.
Pada penilaian saya, mereka sebenarnya mangsa penipuan yang dijanjikan pulangan berjuta juta ringgit daripada pelaburan yang tidak jelas. Seorang daripada mereka mengaku telah melaburkan wang gratuiti persaraan selepas baru bersara daripada perkhidmatan kerajaan.
Masalahnya, pengharapan itu sudah sampai ke tahap yang tidak lagi munasabah. Dalam kes pembeli hartanah RM2 juta tadi, wangnya kononnya sudah “floating” selama setahun setengah. Walaupun tempoh itu langsung tidak masuk akal, dia masih percaya dan terus menunggu.
Malam tadi, muncul seorang lagi yang mahu membeli rumah bernilai RM1.5 juta secara tunai. Katanya, wang akan masuk pada hari Selasa, sebelum urusan pindah milik diselesaikan pada hujung bulan.
Buat masa ini, wang itu juga masih “floating”.
#PenipuanHartanah #WaspadaPenipuan
Baca juga: Beza Booking Deposit Dan Earnest Deposit: Jangan Keliru
Kawasan liputan saya: Seremban, Nilai, Bangi, Seri Kembangan, Sepang, Shah Alam, Puchong, Kajang, Semenyih, Putrajaya, KL & Selangor.


