Fikir dalam-dalam, panjang-panjang, masak-masak sebelum benarkan orang lain guna nama anda untuk mereka beli rumah.
Tak kiralah adik beradik sendiri atau adik beradik ipar.
Kenapa?
Sebab anda bakal kehilangan faedah faedah pemilikan rumah pertama.
“Apa dia faedah faedah pembeli rumah pertama tu Encik Syakir?”
Saya senaraikan di bawah sebagai rujukan tuan puan sekalian:
Pengecualian (waiver) duti setem untuk rumah berharga RM500k ke bawah.
Tahukah anda, untuk beli sebuah rumah yang berharga RM500k, anda perlu bayar duti setem sebanyak RM9k?
Ini satu jumlah yang agak besar terutamanya kepada pembeli rumah pertama.
Bagi pembeli rumah pertama yang berharga RM500k ke bawah, anda menikmati pengecualian duti setem ini tetapi sekiranya anda benarkan orang lain gunakan nama anda untuk beli rumah mereka, apabila tiba masa anda mahu beli rumah sendiri nanti anda sudah tak boleh menikmati pelepasan ini lagi.
Peluang membeli rumah rumah mampu milik (subsidized housing).
Majoriti projek perumahan mampu milik yang ditawarkan oleh kerajaan seperti rumah rumah kos rendah, RSKU, RUMAWIP dan PR1MA hanya ditawarkan kepada pembeli pembeli rumah pertama sahaja.
Seandainya nama anda sudah tersenarai memiliki rumah (walaupun hakikatnya ia dibeli untuk orang lain) anda sudah kehilangan peluang untuk membeli rumah rumah mampu milik ini pada masa akan datang.
Kerugian satu slot pembiayaan dengan margin pembiayaan 100%.
Setiap pembeli cuma berpeluang mendapatkan 1 pembiayaan dengan margin 100% sekali seumur hidup.
Untuk pembelian rumah yang ke-2, anda cuma layak memohon margin pembiayaan maksimum 90% dan hanya 70% bagi rumah yang ke-3 dan seterusnya.
Jadi sebelum anda berkata “ya” kepada adik beradik, saudara mara, kawan kawan yang merayu untuk “pinjam nama” anda untuk beli rumah mereka, fikirkan kesan jangka panjangnya terlebih dahulu.
Sebelum tolong orang lain, pastikan anda berupaya untuk tolong suami, isteri dan anak anak sendiri dahulu kerana komitmen pemilikan rumah bakal memakan satu tempoh masa yang sangat lama dan disertai risiko kewangan yang besar.
Usah takut untuk berkata “tidak” demi kebajikan dan kesejahteraan diri dan keluarga anda.
#PinjamNama #PembeliRumahPertama
Baca juga: Kesilapan Pembeli Rumah Pertama

