Blog · Coretan

Harga Transaksi Pasaran dan Harga Jual Rumah

Ilustrasi pemilik rumah berbincang tentang harga dan nilai hartanah di ruang tamu.

Ramai pemilik rumah sangkut dekat satu fasa kritikal bila nak mula jual hartanah mereka. Mereka cenderung untuk meletakkan harga yang melambung tinggi, jauh melepasi harga transaksi pasaran. Alasannya mudah, mereka rasakan rumah tersebut ada “nilai” yang sangat istimewa di mata mereka.

“Syakir, rumah saya ni ada sentimental value yang tinggi. Masa mula-mula pindah dulu, kos nak extend dapur belakang, pasang plaster ceiling seluruh rumah, dengan buat kabinet solid wood saja dah habis dekat RM150k. Takkan saya nak jual murah?”

Ya, saya sangat faham. Memang rumah tu cantik, kemas, dan ada banyak peluh, masa, serta modal besar yang anda dah keluarkan sepanjang berbelas tahun tinggal di situ. Tapi, hakikat pasaran hartanah ni kejam sikit bila kita mula masuk bab duit sebenar dan kelulusan pinjaman bank.

Realitinya, pembeli yang datang tengok rumah anda tak beli memori atau kenangan manis anda minum kopi di balkoni tu setiap petang. Mereka sedang membeli batu, bata, ruang, dan lokasi yang bank boleh nilaikan secara objektif.

Mari kita fahamkan mekanismenya. Bila pembeli setuju nak beli rumah anda, duit tu bukan datang bergolek dari langit. Mereka kena serahkan dokumen dan merayu dekat bank untuk pinjam wang. Bila bank nak luluskan loan, bank akan hantar valuer (penilai) untuk nilai rumah tu. Waktu valuer buat kira-kira, mereka tak akan kira titik peluh anda masa pilih mozek lantai tu, atau betapa mahalnya harga kabinet dapur yang anda tempah khas dari luar negara.

Bank hanya akan tengok satu benda: data dan rekod transaksi hartanah semasa di kawasan tersebut. Kalau market value (nilai pasaran) kawasan tu cuma RM500k, bank takkan sesekali bagi loan RM700k semata-mata sebab anda rasa rumah tu sangat bernilai. Kalau buyer tak ada tunai RM200k dalam tangan untuk topup beza harga tu, transaksi automatik batal.

Di sinilah kita kena berani telan satu fakta pahit. VALUE (nilai) hanya membawa erti cuma apabila ada orang yang sanggup membayar satu PRICE (harga) yang dirasakan setimpal dengan nilai tersebut.

Selagi tak ada manusia yang sudi keluarkan duit dari poket mereka, sign offer letter, dan betul-betul lulus loan untuk bayar harga yang anda minta, nilai tinggi yang anda banggakan tu cuma wujud dalam angan angan anda je.

Apakah kesan langsung kepada anda? Kalau price yang anda letak tak masuk akal dan tak sepadan dengan value di mata pembeli serta kiraan bank, rumah tu akan bersawang lama dalam pasaran.

Anda yang akan menanggung penatnya. Berbulan bulan anda akan rasa lutut lenguh turun naik tangga, terpaksa bergegas sapu habuk dan kemas rumah setiap kali ejen bawa viewer datang tengok. Hari-hari menanti dengan penuh harapan, tapi sudahnya satu pun tak lekat.

Nilai sebenar hartanah anda bukanlah harga ikut suka hati, bukan juga harga untuk balik modal ubah suai. Nilainya adalah harga tertinggi yang pembeli sanggup dan mampu bayar pada hari ini. Titik.

Bila anda faham konsep asas ni, proses meletakkan harga akan jadi jauh lebih realistik, dan urusan jual beli rumah akan jadi jauh lebih lancar dan laju. Tak ada lagi masa dan tenaga yang terbuang sia-sia. Mind blowing, bukan?

#HargaRumah #JualRumah

Baca juga: Harga Rumah Realistik Datang Dari Data, Bukan Perasaan

Kongsi:Pautan disalin!
Syakir Zainol
Syakir ZainolEjen Hartanah Berdaftar · PEA3833 · Legacy Real Property

Ada soalan tentang coretan ni? Terus tanya saya — jawapan berdasarkan data dan pengalaman lapangan sebenar.