Blog · Coretan

Willing Buyer Willing Seller Bukan Lesen Bebas Tetapkan Harga

Kartun pegawai bank Maybank cop tolak permohonan pinjaman rumah kerana laporan penilaian nilai pasaran RM550,000 jauh lebih rendah daripada harga jualan RM950,000

Konsep “willing buyer willing seller” (pembeli rela, penjual rela) ini antara istilah yang paling kerap orang guna apabila bercakap pasal jual beli rumah, tetapi ramai yang faham separuh jalan.

Sebab apa?

Sebab ramai pemilik rumah ingat frasa ini lesen besar untuk mereka letak harga ikut sedap anak tekak.

“Rumah saya, suka hati saya lah hendak letak harga berapa. Kalau pembeli setuju, itu willing buyer willing seller lah kan?”

Tidak lah semudah begitu.

Maksud asal konsep ini mudah sahaja. Ia merujuk kepada satu transaksi jual beli yang berlaku secara sukarela antara pembeli dan penjual, tanpa sebarang unsur paksaan, penipuan, atau manipulasi.

Penjual gembira hendak jual pada harga itu, pembeli pun reda (pasrah?) hendak bayar harga itu.

Tapi dalam dunia hartanah sebenar, transaksi ini tidak berdiri sendiri dalam vakum.

Ada satu lagi entiti penting yang duduk di tengah-tengah iaitu bank.

Ini yang ramai penjual selalu terlepas pandang.

Anda dengan pembeli mungkin sudah bersalam, sudah peluk cium dahi pipi setuju hendak urus jual beli rumah anda di Nilai pada harga RM600,000, walhal nilai pasaran (market value) yang dinilai oleh jurunilai bertauliah cuma RM450,000.

Masa ini lah konsep “willing buyer willing seller” anda itu akan tersangkut di pintu bank.

Bank tidak peduli anda berdua bersetuju setinggi mana pun. Bank cuma akan luluskan pembiayaan berdasarkan nilai pasaran sah, bukannya nilai citarasa anda.

Baki RM150,000 itu? Pembeli kena korek tabung dan bayar tunai.

Kalau pembeli ada tunai RM150,000 berkepuk dalam bank, memang tidak ada masalah. Transaksi jalan macam biasa.

Tapi hakikatnya, berapa ramai pembeli rumah yang ada tunai ekstra seratus dua ratus ribu semata-mata hendak layan harga “willing” anda itu?

Dan berapa ramai pembeli rumah yang terlebih cerdik hendak bayar RM150,000 lebih daripada nilai sebenar pasaran?

Hujung-hujung, permohonan pembiayaan pembeli kena tolak, deposit kena pulangkan balik, dan rumah anda terperam semula dalam pasaran bertahun-tahun.

Sebab itu apabila hendak tetapkan harga jualan, rujuklah data transaksi sebenar di kawasan sekitar.

Suka sama suka itu ya, wajib dalam perniagaan.

Tapi suka sama suka yang belakangkan data, itu namanya syok sendiri lah.

#HargaPasaranRumah #PenjualRumah

Baca juga: Harga Rumah Realistik Datang Dari Data, Bukan Perasaan

Kawasan liputan saya: Seremban, Nilai, KL & Selangor.

Kongsi:Pautan disalin!
Syakir Zainol
Syakir ZainolEjen Hartanah Berdaftar · PEA3833 · Legacy Real Property

Ada soalan tentang coretan ni? Terus tanya saya — jawapan berdasarkan data dan pengalaman lapangan sebenar.

Kawasan Liputan

Khidmat Pemasaran Hartanah Berdasarkan Kawasan

Servis ejen hartanah di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, dengan tumpuan khusus di Seremban dan Nilai.

Negeri & Wilayah Persekutuan