Sebut saja pembiayaan Islamik, masih ramai yang ingat bahawa apabila ada perkataan “Islamik,” pembiaya — dalam kes umum, bank — tak boleh kenakan keuntungan.
Yang tak boleh buat untung itu, tuan puan, bukanlah pembiayaan. Itu namanya infak atau zakat. Inilah masalah persepsi awam turun temurun di kalangan orang Islam di Malaysia. Pantang kalau benda itu berkaitan dengan Islam atau ada label syariah, terus anggap tak boleh buat keuntungan.
Sama juga macam ustaz ustazah yang mengajar agama, yang mengajar bacaan Al-Quran. Ramai lagi orang kita pada hari ini yang kecam mereka kalau mereka kenakan bayaran untuk khidmat tersebut. Saya sendiri dulu, bertahun lalu sebelum mendalami hal ini dengan serius, pernah tersasar dalam pemikiran yang sama — jadi bukan saya nak tuding jari semata, saya faham dari mana confusion ini datang.
Sebab itu, untuk selesaikan ketidakcerdikan kita dalam hal ini, masyarakat kena belajar untuk bezakan beza antara komersial (tijari) dan kebajikan (tabarru’). Kena sedar bahawa mana mana bank Islam dalam dunia ini adalah entiti perniagaan yang berasaskan jual beli, bukannya institusi kebajikan.
Bila tuan puan beli rumah guna pembiayaan Islamik, bank tersebut akan beli terlebih dahulu rumah tu dan jual semula kepada tuan puan pada harga yang dipersetujui. Harga tersebut sudah termasuk keuntungan bank. Keuntungan ini sah daripada perspektif syariah — sama saja macam pekedai yang beli barang harga borong daripada pemborong, dan jual semula kepada tuan puan dengan harga mark up.
Memang wujud dalam Islam pinjaman yang langsung tak ada keuntungan. Pinjaman ini dipanggil sebagai “qard hassan,” ataupun pinjaman kebajikan. Tapi pinjaman jenis ini memang tidak dibuat oleh bank — ia bukan model perniagaan bank, ia model kebajikan yang lain sama sekali.
Kesimpulannya, Islam bukanlah satu agama yang melarang penganut penganutnya untuk bermuamalat, berniaga, dan membuat keuntungan daripada aktiviti harian mereka. Bahkan, dalam Islam, dah cukup tersedia dengan segala macam garis panduan untuk pastikan segala urusan kehidupan kita adil dan terpelihara mengikut lunas lunas yang telah ditetapkan oleh agama.
Dapat tu ya?
#PembiayaanIslamik #HartanahMalaysia
Baca juga: Loan Bank vs LPPSA

