Tanah Freehold Tidak Boleh Diambil Alih? Fakta Sebenar Tentang Pengambilan Tanah di Malaysia
Ramai orang sering kali menyangka bahawa jika hartanah mereka berstatus freehold (pegangan kekal), ia tidak boleh diambil alih oleh kerajaan. Sebenarnya, ini satu salah faham yang besar. Jadi, mari saya terangkan secara teliti, supaya anda betul-betul faham bagaimana undang-undang berkaitan pengambilan tanah berfungsi di Malaysia.
Apa Perbezaan Tanah Freehold dan Leasehold?
Mula-mula, kita kena faham perbezaan antara freehold dan leasehold. Freehold bermaksud anda memiliki tanah tersebut secara kekal, secara selama-lamanya. Manakala leasehold adalah tanah yang diberikan hak milik untuk tempoh tertentu, biasanya 99 tahun. Selepas tempoh ini, anda perlu memperbaharui pajakan tersebut. Ramai yang fikir, tanah freehold lebih selamat sebab milik kekal. Tapi, jangan ingat freehold kebal daripada pengambilan tanah oleh kerajaan.
Kuasa Kerajaan Mengambil Tanah: Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960
Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT) memberikan kerajaan kuasa untuk mengambil mana-mana tanah di Malaysia, tidak kira sama ada tanah itu freehold atau leasehold. Sebagai pemliik hartanah, ini bukan perkara kecil, jadi anda perlu tahu apa yang undang-undang katakan.
Di bawah Seksyen 3 APT, kerajaan boleh ambil alih tanah anda untuk beberapa sebab:
1. Maksud Awam: Seperti membina jalan raya, hospital, atau sekolah.
2. Pembangunan Negara: Jika kerajaan berpandangan yang projek itu akan memberi manfaat kepada masyarakat atau pembangunan negara.
3. Tujuan Komersial: Seperti perlombongan, perniagaan, atau projek perumahan.
Jadi, tidak kira tanah anda freehold atau leasehold, kerajaan tetap ada kuasa untuk ambil alih jika ianya mematuhi kriteria-kriteria di atas.
Hak Pemilik Tanah: Apa yang Anda Perlu Tahu?
Walaupun kerajaan memiliki kuasa untuk melaksanakan pengambilan tanah, hak anda sebagai pemilik tanah tetap dilindungi oleh Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini menyatakan bahawa tiada siapa pun boleh diambil hak miliknya tanpa dianugerahkan dengan pampasan yang memadai.
Pampasan yang Memadai: Sekiranya tanah anda diambil alih, kerajaan mesti membayar pampasan yang sesuai dengan nilai semasa tanah dan bangunan di atasnya. Contohnya, jika rumah anda bernilai RM500,000, pampasan itu harus mencerminkan nilai tersebut, bukan kurang.
Mengapa Anda Tidak Perlu Risau Tentang Status Leasehold?
Ramai yang bimbang dan takut untuk beli hartanah leasehold sebab khuatir yang tanah mereka lebih mudah diambil alih oleh kerajaan. Tapi sebenarnya, sama ada leasehold atau freehold, risiko pengambilan tanah tetap sama. Jadi, jangan jadikan status tanah sebagai penghalang untuk anda membuat keputusan. Yang penting, hak anda tetap dilindungi dan pampasan yang sepatutnya akan diberikan.
Kesimpulan
Pembelian hartanah merupakan satu keputusan besar dan ada banyak perkara yang perlu diambil kira. Salah satu perkara yang sering disalah faham adalah tentang pengambilan tanah. Tidak kira apa status tanah anda, ingat bahawa undang-undang di Malaysia membenarkan kerajaan mengambil alih tanah untuk tujuan yang sah. Tetapi, anda tidak perlu risau kerana hak anda sebagai pemilik tanah tetap terjamin di bawah undang-undang.