Hakmilik Kekal | Ejen Hartanah Berdaftar

panduan beli rumah

Panduan Lengkap Membeli Rumah di Malaysia

Membeli rumah adalah satu impian besar bagi majoriti orang, tetapi saya faham, ia juga boleh dirasakan mencabar dan menakutkan. Ini merupakan keputusan terbesar kewangan yang boleh mengubah hidup anda secara keseluruhan. Namun, jika tidak dilakukan dengan betul, impian indah ini boleh bertukar menjadi mimpi ngeri. Jadi, bagaimana anda boleh pastikan bahawa keputusan ini membawa kepada kebahagiaan dan bukannya penyesalan? Mari saya kongsikan panduan beli rumah yang boleh anda rujuk untuk pastikan anda membuat pilihan yang bijak untuk meminimakan risiko kesilapan yang boleh mendatangkan kerugian.

Langkah 1: Semak Kelayakan Pembiayaan Anda

Pertama sekali, sebelum anda mula mencari rumah, penting untuk anda tahu sejauh mana kelayakan pembiayaan anda. Ini penting bukan saja untuk tahu berapa banyak pembiayaan yang anda layak terima, tapi lebih penting lagi, supaya anda jelas ansuran bulanan yang perlu dibayar nanti tidak membebankan kewangan anda. Percayalah, anda pasti tak mahu terperangkap dengan bayaran bulanan yang melebihi kemampuan anda. Saya sarankan, jangan lebih daripada 25% pendapatan bulanan anda diperuntukkan untuk ansuran rumah. Ini bagi memastikan anda masih ada lebihan pendapatan yang cukup untuk tujuan lain seperti sara hidup dan simpanan.

Contoh mudah, katakan pendapatan bulanan anda RM6,000, ansuran bulanan yang ideal adalah sekitar RM1,500. Nak dapatkan kiraan yang tepat? Mudah saja, jumpa pegawai bank atau perunding hartanah berdaftar. Mereka boleh bantu kira kelayakan pembiayaan anda dengan lebih terperinci.

Langkah 2: Kenal Pasti Keperluan dan Kemahuan Anda

Sekarang, sebelum mula mencari rumah, fikir betul-betul — apa sebenarnya yang anda perlukan? Apa pula yang anda mahukan? Jangan tersilap langkah dengan terlalu fokus pada kemahuan hingga terlupa keperluan. Misalnya, adakah anda perlukan rumah yang dekat dengan tempat kerja? Atau perlukan bilik tambahan kerana keluarga akan bertambah? Utamakan keperluan anda terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan kemahuan seperti reka bentuk moden atau kolam renang! Teruskan membaca panduan beli rumah ini untuk langkah-langkah seterusnya.

Langkah 3: Mula Mencari Rumah yang Sesuai

Setelah jelas dengan keperluan anda dan tahu kemampuan kewangan anda, sekarang tiba masa untuk mencari rumah. Anda boleh gunakan portal hartanah seperti PropertyGuru, iProperty, atau Mudah.my. Tapi, selain daripada itu, ada cara yang lebih mudah — perunding hartanah berdaftar boleh jadi rakan kongsi yang sangat berguna untuk bantu anda dalam ‘journey’ anda ini. Mereka bukan saja boleh beri konsultansi yang lengkap, tetapi juga bantu cari rumah yang sesuai dengan kemampuan anda. Yang lebih penting, mereka akan uruskan semua proses pembelian dari awal sampai akhir, jadi bukan sahaja beban anda menjadi ringan, risiko membuat kesilapan pun berkurang.

Langkah 4: Kira Kos Awalan yang Diperlukan

Sekarang, mari kita bincang tentang kos. Ramai yang terlupa atau tak ambil kira kos-kos yang terlibat dalam membeli rumah. Walaupun anda ambil keputusan untuk mohon pembiayaan 100%, tetap ada sejumlah wang yang perlu disediakan untuk selesaikan proses pembelian rumah. 

Selain deposit, ada juga kos guaman yang perlu diambil kira. Kos guaman ni ada dua jenis — kos guaman pindahmilik dan kos guaman pembiayaan. Untuk pindahmilik, ini perbelanjaan hangus yang anda perlu keluarkan wang sendiri, dan anggaran untuk rumah berharga RM400,000 adalah sekitar RM6,000 hingga RM7,000. Tapi jangan risau, sekiranya ini rumah pertama anda dan harganya kurang daripada RM500,000, anda tak perlu bayar duti setem (RM7,000 untuk rumah berharga RM400,000).

Untuk kos guaman pembiayaan pula, biasanya nilai ini bank akan masukkan ke dalam jumlah pembiayaan. Ini termasuk juga penilaian rumah oleh bank. Jadi, tak perlu risau sangat tentang kos ini melainkan anda pilih untuk kurangkan nilai pembiayaan dan bayar tunai kos guaman pembiayaan.

Langkah 5: Lawati Rumah dan Buat Pemeriksaan

Jangan terburu-buru buat keputusan hanya berdasarkan gambar atau video di internet. Pastikan anda lawat rumah yang anda minat dan buat pemeriksaan menyeluruh. Periksa keadaan struktur, sistem pendawaian elektrik, sistem paip dan kumbahan, dan sebagainya. Kalau tak pasti, dapatkan bantuan pemeriksa rumah profesional.

Jangan lupa juga, periksa kejiranan dan kemudahan sekeliling. Ada tak kedai runcit, pasaraya, hospital, sekolah, dan tempat ibadah yang dekat? Bagaimana dengan akses kepada pengangkutan awam dan tempat kerja? Ini semua penting sebagai panduan beli rumah untuk pastikan rumah yang anda beli benar-benar sesuai dengan gaya hidup dan keperluan keluarga anda.

Langkah 6: Fahami Proses Perundangan

Bila dah jumpa rumah yang sesuai, jangan lupa — pembelian rumah melibatkan proses perundangan yang perlu difahami betul-betul. Ini termasuk penyediaan Surat Tawaran, Perjanjian Jual Beli (SPA), dan pendaftaran hak milik di Pejabat Tanah. Fahami apa yang anda tandatangani. Dapatkan penjelasan terperinci sehingaa anda benar-benar faham dan rasa puas hati.

Kalau anda beli rumah melalui perunding hartanah, pilih untuk guna panel peguam hartanah agensi mereka. Selalunya, peguam panel ini lebih berpengalaman, mahir, dan yang paling penting, boleh dipercayai kerana diakui sebagai panel lantikan agensi hartanah tersebut.

Langkah 7: Dapatkan Pembiayaan

Setelah memilih rumah dan setuju dengan harga yang diminta, langkah seterusnya adalah mendapatkan pembiayaan. Sediakan semua dokumen kewangan seperti penyata gaji, penyata bank, dan rekod cukai sebelum anda buat permohonan. Ini akan mempercepatkan proses kelulusan. Kalau anda beli rumah melalui perunding hartanah, mereka selalunya ada panel bank yang mereka akan cadangkan. Pilih panel-panel ini untuk mempercepatkan urusan pembiayaan. Bahkan, perunding hartanah yang bagus akan bantu anda menguruskan aplikasi permohonan sehingga selesai.

Langkah 8: Pantau Proses Pindah Milik dan Serahan Kosong

Selepas pembiayaan diluluskan, anda dah semakin hampir sampai ke penghujung proses. Ini melibatkan pembayaran duti setem, yuran guaman, dan kos lain. Pastikan anda sentiasa berkomunikasi dengan peguam yang dilantik untuk tahu perkembangan terkini. Ini penting supaya anda tahu setiap progress yang berlaku dan boleh ambil tindakan segera jika diperlukan.

Langkah 9: Buat Pemeriksaan Akhir Sebelum Pindah Masuk

Akhir sekali, sebelum anda teruja nak pindah masuk, buat pemeriksaan akhir terhadap rumah yang dibeli. Pastikan kondisi rumah adalah seperti yang dijanjikan, dan semua perjanjian bersama penjual sudah dilaksanakan. Contohnya, kalau penjual janji nak cat rumah, pastikan ia sudah dilakukan. Peguam anda akan bekerjasama untuk pastikan sebarang syarat yang dipersetujui adalah dipatuhi.

Kesimpulan

Membeli rumah bukanlah satu perkara yang mudah, tapi dengan panduan yang betul, ia boleh jadi lebih mudah berbanding sangkaan anda. Ingat, pembelian rumah ini adalah satu bentuk pelaburan jangka panjang, jadi buatlah keputusan yang teliti. 

Dan jangan lupa — berbincanglah dengan pasangan atau ahli keluarga sebelum buat keputusan akhir. Pendapat mereka sangat penting untuk memastikan keputusan yang dibuat adalah yang terbaik untuk semua pihak. 

Jika anda perlukan bantuan atau nasihat lanjut, saya sedia membantu. Saya harap panduan beli rumah yang saya kongsikan ini berjaya bantu anda. Hubungi saya bila-bila masa, saya akan pastikan anda mendapat rumah yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan anda.

Kongsikan artikel ini
Jom Follow Saya Di Facebook

Reset password

Enter your email address and we will send you a link to change your password.

Scroll to Top